Ceritera kita(ep 3).
"Hello ram..ram??" Kedengaran suara Ismet di talian.
Iqram yang mengelamun tadi sudah tersedar dan kembali berkata.
"Ya Met. Erm...ermm..kau nak apa tadi?" Iqram sedikit tergagap.
"laa.. kau ni..aku nak nombor telefon Tiara. Please. Kau kan kawan rapat dia. Tak kan la tak da." Ismet berkata.
Dalam keadaan dilema itu, Iqram terpaksa juga memberi nombor telefon Tiara kepada Ismet. Lagipun dalam fikirannya apa lah salahnya jika mereka ingin berkawan.
Malam itu, Ismet segera menelefon Tiara. Hatinya sudah digaru-garu untuk berbual dengan wanita idamannya itu.
"Assalamualaikum, Tiara." Ismet memulakan bicaranya.
Tiara pelik mendengar suara yang amat dikenalinya itu. Satu hal terlintas di fikirannya, 'dari mana dia dapat nombor telefon aku?'
"Walaikumussalam. Siapa ni?" Tiara tetap ingin bertanya biarpun dia tahu itu siapa. Dia cuma inginkan kepastian. Manalah tahu orang lain yang suaranya persis suara Ismet.
"Tak kan lah tak kenal suara saya. Ini Ismet lah." Ismet berkata. Tidak lari sangkaan Tiara sama sekali. lelaki itu benar-benar Ismet.
Mereka berbual panjang malam itu. Hati Tiara benar-benar bahagia. Kedua-duanya sudah di lamun cinta. Macam-macam yang mereka ceritakan. Ada kalanya Ismet mengusik Tiara dan ada kalanya Tiara yang mengusik Ismet. Mereka berdua benar-benar gembira.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini, Tiara sudah berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti itu. Ismet dan Iqram pula telah pun menjadi CEO di syarikat masing-masing. Malah mereka berdua juga telah menjadi rakan kongsi bersama.
Cerita antara Tiara, Iqram dan Ismet pula???
Kini hubungan Tiara dan Ismet menjadi semakin rapat. Iqram pula masih bersendiri. Katanya buat masa sekarang, dia belum ada masa untuk memikirkan hal tersebut. Dia hanya ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan.
Satu hari, mereka bertiga keluar bersama. Katanya ada hal yang ingin dikatakan oleh Tiara dan Ismet kepada Iqram. Rupanya Ismet menyuruhnya untuk pergi ke rumahnya malam ini.
Iqram yang dalam perjalanan ke rumah Ismet itu merasakan ada sesuatu yang menyakitkan akan didengarinya. Sejujurnya dia masih ada perasaan terhadap Tiara dan sampai sekarang perasaan itu masih ada malah semakin bertambah.
Kereta Iqram parking di hadapan rumah Ismet. Dari luar, dia mendengar suara-suara yang riuh rendah dari dalam rumah. Hatinya mula berasa ada sesuatu.
"Assalamualaikum." Iqram memberi salam dan terus menuju ke pintu utama rumah.
"Walaikumussalam." Kedengaran beberapa orang yang menyambut salam tersebut. Terlihat ramai sungguh orang dalam rumah Ismet dan semua itu terdiri daripada ahli keluarga Ismet dan ada juga ibu dan ayah Tiara di sana.
Ismet berjalan menuju Iqram yang terdiam itu dan terus membawanya duduk bersama-sama mereka. Mereka berbual-bual sebelum ke agenda utama.
Sampailah ke kemuncak, akhirnya Ismet memberitahu hasrat hatinya ingin menikahi Tiara. Bertapa terkejutnya Iqram apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ismet itu.
Seketika kemudian, Tiara keluar dari dapur dengan membawa minuman ke ruang tamu. 'Tiara amat cantik malam ini.' Terdetik hati Iqram apabila melihat Tiara yang berpakaian kebaya warna merah jambu yang dipadankan dengan tudung berwarna putih. Tiara terus ternampak Iqram dan terus melemparkan senyuman manis.
"Iqram, aku nak minta pendapat kau, tu la aku ajak kau sekali datang rumah. Aku rasa kau dah macam keluarga kami dan kau dah macam abang Tiara." Ismet berkata kepada Iqram yang nampak kesedihan itu.
"Hah..aku setuju sangat dengan pernikahan korang berdua ni. Korang memang sesuai dari dulu. Jangan risau Met, aku sentiasa sokong korang berdua." Iqram mengagahi hatinya untuk berkata ayat tersebut. Dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Sedangkan dia sendiri tidak dapat gambarkan apakah perasaannya ini.
Selesai menjamu selera di rumah Ismet, Tiara dan Iqram duduk di ayunan di luar rumah Ismet sementara Ismet membantu ayahnya sebentar di dapur.
"Tiara, aku nak tanya kau sesuatu. Erm.. sebelum tu, tahniah sebab kau dah nak jadi isteri orang." Iqram memulakan bicara terlebih dahulu.
"Terima kasih Ram. Hah, kau nak tanya apa?"
"Kalau kau diberi dua pilihan antara cinta dan persahabatan, mana satu kau akan pilih?" Iqram bertanya.
Tiara yang pada ketika itu tidak mengerti apa-apa hanya tersenyum seraya menjawab, " bagi aku, dua-dua pun penting. Tengok keadaan. Tapi kalau dah keliru sangat pilihlah persahabatan. Sebab kadang-kadang, kalau kau cintakan seseorang, kau tak seharusnya memiliki dia. Cukuplah dengan membuat dia bahagia bersama pilihannya." Tiara menjawab panjang.
Ketika itu, Iqram hanya berdiam. Dia sebetulnya ingin menangis di situ juga. Tapi cuba di tahannya air mata agar tidak terjatuh di hadapan Tiara. Biarlah dia melepaskan apabila dia sampai di rumah di atas tikar sejadah.
Iqram balik dengan hati yang sayu. Dia sudah membuat keputusan untuk ke luar negara sehingga selesai pernikahan Ismet dan Tiara minggu hadapan. Dia tidak sanggup melihat mereka berdua dinikahkan.
Esok Iqram akan berangkat ke Istanbul. Dia ingin mengambil alih perniagaan mereka di sana buat sementara waktu. Sebelum itu, dia telah menulis sepucuk surat kepada Tiara untuk memberitahu semuanya. Dia menyerahkan surat itu kepada ibunya dan memesan bahawa surat itu mesti sampai di tangan Tiara pada hari pernikahannya.
Seminggu sudah berlalu. Selama seminggu ini Tiara terlalu sibuk menguruskan majlisnya dengan Ismet. Tiara berasa sungguh tidak sabar. Dalam masa yang sama dia menunggu kedatangan Iqram kerana hari ini adalah hari pernikahannya. Dia menanti dengan sabar.
Sampai di masjid, Tiara masih berada dalam keadaan kerisauan menunggu kedatangan Iqram dan Ismet. Mereka masih belum sampai. Selang beberapa minit kemudian, Ibu dan ayah Iqram pun tiba. Namun, Iqram pula yang tiada. Ibu Iqram menghampiri Tiara yang kelihatan amat cantik berpakaian baju kurung moden berwarna putih yang di serikan dengan bermacam manik dan labuci dipadankan dengan tudung manik putih dan selendang putih.
"Mak cik, mana Iqram?" Tiara terus bertanya.
"Tiara, nah." Ibu Iqram memberikannya sekeping surat yang dilipat dua.Tiara hanya memandang dengan pandangan yang kosong. Dia membuka surat itu lalu membacanya.
Kehadapan sahabatku yang amat disayangi. Aku gembira kau kahwin juga akhirnya. Tahniah. Maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis mu sebab aku sekarang di Istanbul. Ada hal yang perlu aku uruskan disini. Aku nak beritahu kau sesuatu. Sejak dari dulu aku sudah suka kau Ara dan sejak dari dulu aku ada satu harapan iaitu ingin berkahwin dengan kau. Tapi sejak malam yang aku tanya kau mana lebih penting antara cinta dan persahabatan, impianku sudah berubah iaitu ingin melihat kau bahagia. Aku sayang kau sangat-sangat. Mungkin kau tidak perasan tapi itulah apa yang aku rasakan Aku harap kau akan bahagia selepas ini bersama Ismet. Aku tahu dialah lelaki terbaik untuk kau. Tolong jangan ubah fikiran disebabkan aku. Aku nak sangat lihat kau bahagia. Sekian sampai di sini sahaja. Semoga kau bahagia. -Iqram-
Selesai sahaja dia membaca surat itu, air mata laju menitis membasahi pipinya dan tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta di luar masjid. Hati Tiara berasa tidak sedap. 'Apa sudah jadi?'..........
(bersambung)
Comments
Post a Comment